Sunday, August 24, 2008

Wira Kedah disambut meriah

Wira Kedah disambut meriah







AZRAAI (depan) mengetuai skuad Hijau Kuning yang disambut ribuan penyokong Kedah sejurus tiba di Stadium Darul Aman semalam.

PASUKAN bola sepak Kedah yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia disambut meriah bagai wira oleh penyokong Hijau Kuning di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim semalam.

Pemain serta pegawai Kedah kemudiannya diarak dengan menaiki kereta berhias berwarna hijau kuning yang tertera tulisan 'Tiga Juara Dalam Dua Musim' sejauh lebih 10 kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ke Stadium Darul Aman, Alor Star.

Mereka diarak secara berkonvoi disertai kereta antik dan motosikal berkuasa tinggi melalui Jalan Anak Bukit, Pantai Johor, Pumpong, Jalan Stadium, menyusuri Jalan Tunku Ibrahim dan Jalan Langgar sebelum ke Stadium Darul Aman.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, berikutan kejayaan cemerlang Kedah musim ini, Sultan Kedah berkenan menganugerahkan pingat Bintang Semangat Jerai kepada semua pemain di Istana Anak Bukit kira-kira pukul 3 petang ini.

Azizan berkata, anugerah pingat itu diberikan setelah Kedah berjaya muncul juara treble, Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super bagi dua musim berturut-turut.

Katanya, beberapa ganjaran lain turut akan diberikan termasuk ganjaran wang tunai.

"Lepas ni kita akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Kedah untuk memutuskan bentuk ganjaran yang akan diberikan sama ada wang tunai atau sebagainya," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji bentuk imbuhan untuk diberikan kepada pemain dalam masa terdekat ini atas kejayaan itu.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, walaupun banyak ranjau yang dilalui, namun hasil semangat juang tinggi, anak buahnya berjaya merangkul tiga piala dalam dua musim berturut-turut.

"Saya akan cuba mengekalkan pretasi pemain untuk musim-musim yang seterusnya dan memastikan Kedah terus kekal berada dalam pasukan elit negara," katanya.

Kedah mengesahkan kejuaraan Piala Malaysia bagi dua musim berturut-turut selepas menang 3-2 ke atas Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

KETUA jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata kemenangan ke atas Selangor 3-2 di Stadium Bukit Jalil kelmarin untuk menjulang Piala Malaysia adalah yang terbaik sepanjang karier kejurulatihan.

“Ini adalah pencapaian terbaik dengan enam kejuaraan dalam tempoh dua musim dan kejayaan ini adalah yang paling manis.

“Kejayaan ini tidak mungkin saya kecapi tanpa sokongan pembantu saya, Radhi (Mat Din) dan Ahmad Sobri (Ismail), pemain serta ribuan peminat yang sentiasa setia bersama kami,” kata Azraai.

Katanya, dia tidak sama sekali menyangka akan dapat memenangi enam kejuaraan dalam tempoh itu.

“Pada awal musim ini, kita tidak menaruh harapan tinggi melakukannya tetapi Alhamdulillah dengan kerja keras semua pihak, akhirnya kita berjaya membawa pulang Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya.

Menurut Azraai, pemain diberi rehat seminggu sebelum memasuki kem latihan menghadapi saingan suku akhir Piala AFC di Bahrain, pertengahan September ini

Katanya, Kedah akan melalui perlawanan musim baru tanpa khidmat Marlon Alax James, Cornellius Bernard Hugging dan Nelson Sam Martin.

“Kontrak tiga pemain import kita akan tamat hujung bulan ini. Saya terpaksa menyediakan satu pasukan ‘baru’ pada pertemuan itu,” tegasnya.

No comments: