Written by Ibrahim Othman
Wednesday, 16 July 2008 08:45
KETIKA semua orang suka bercakap isu debat antara Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula melontarkan pandangannya bahawa Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berpeluang menang.
Dr. Mahathir berkata, Muhyiddin mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno sekiranya pemilihan bagi jawatan itu dibuat secara terbuka. Dr. Mahathir berpendapat, kini wujud tanggapan umum yang melihat Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang pemimpin yang lemah dan tidak pernah mempunyai pendirian sendiri.
"Dia (Najib) hanya cakap, selalu cakap, saya sokong, saya sokong, saya terharu. Tetapi dia tidak pernah sebut apa-apa mengenai hasrat rakyat terhadapnya atau bagaimana dia menghormati mereka," kata Dr. Mahathir selepas merasmikan Pejabat Pentadbiran dan Biro Pengaduan Awam Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Kuala Lumpur.
Tentunya, para pemerhati politik, mahu 'bercuti seketika' dari berbincang dan bercakap soal pertandingan dalam Umno dan peralihan kuasa, kerana kemunculan Anwar dan Shabery dilihat lebih 'bertenaga' dari cerita-cerita serupa, yang berulang-ulang.
Seperti sebelumnya, Dr. Mahathir berkata, dia mendapat maklumat ada 'pakatan' antara Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Muhyiddin untuk berhadapan dengan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, secara tiba-tiba Dr. Mahathir mempunyai 'formula' berasingan pula.
Di sini, seorang ketua bahagian Umno memberitahu, dia merasakan seperti ada 'makna lain' dari apa yang Dr. Mahathir perkatakan itu. Pertama, Dr. Mahathir masih mahukan Najib melawan Pak Lah bagi jawatan Presiden supaya dia (Najib) tidak 'dikalahkan' Muhyiddin yang dilihat sudah 'mula mengamuk' macam Hang Jebat, terhadap tindakan Sultan Melaka menghukum Hang Tuah.
Sementara seorang Ketua Wanita Umno pula berpendapat, Dr. Mahathir memang mahu melihat Muhyiddin 'tewas' di kerusi timbalan Presiden supaya politik Muhyiddin hanyut, bersama-sama hanyutnya sampah sarap dari ulu sungai ke kuala sungai.
Kata mereka, yang meneliti sejarah hubungan antara Dr. Mahathir dengan Muhyiddin, sentiasa ada pasang surut. Ketika Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, Muhyiddin dikatakan pernah 'disekat' dari mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir sebagai PM, tetapi Berjaya diselesaikan dengan pertolongan Allahyarham Tun Ghafar Baba yang menjadi TPM ketika itu.
Mereka juga menceritakan, Muhyiddin sebagai Naib Presiden (nombor satu) dalam tahun 1995, hanya dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan, menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman, sedangkan kebiasaannya, penyandang jawatan itu akan duduk sebagai Menteri Kewangan atau setidak-tidaknya, Menteri Pelajaran.
Maka, dalam sibuk-sibuk 'kaki sembang' politik memberi pandangan masing-masing terhadap isu debat, ada juga yang mengajak kawan-kawan mereka bercakap soal pandangan Dr. Mahathir ini. Malangnya, pandangan Dr. Mahathir tidak dapat mengatasi populariti Anwar yang uncul di kaca TV9, siaran langsung Debat anjuran Agendadaily di Balai Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka.
Cuma, secara sinisnya mereka berpendapat, apakah maksud sebenar Dr. Mahathir mengatakan Muhyiddin yang pernah Dr. Mahathir 'kalahkan' dari jawatan Naib Presiden Umno dalam tahun 1996 boleh 'mirip menyokong Muhyiddin' ketika ini, sewaktu dia sudah tidak lagi berada di dalam Umno.
Bukan sahaja Dr. Mahathir tidak berada di dalam Umno, malahan, Dr. Mahathir gagal membawa mana-mana ketua bahagian keluar Umno bersama-samanya, seperti yang dikehendaki. Jika ada yang secara terang-terang mengikut jejak langkah Dr. Mahathir, hanyalah satu cawangan Umno dalam Bahagian Pokok Sena, bernama Cawangan Seri Tanjung. Itu pun, tidak diketahui berapa jumlah keahlian Umno berdaftar di cawangan tersebut.
Seorang bekas menteri kabinet, Tan Sri Sanusi Junid yang juga keluar dari Umno, bukan kerana mengikut jejak Dr. Mahathir sebaliknya, dia mendakwa dia lebih dulu keluar dari Umno dari tarikh Dr. Mahathir keluar. Mungkin Sanusi mahu, Dr. Mahathir mengikut jejaknya dan bukan dia mengikut jejak Dr. Mahathir. Ini tektik Sanusi dalam politik.
Apakah Dr. Mahathir lupa, ketika dia menjadi Presiden Umno, dia tidak melantik Muhyiddin duduk dalam Majlis Tertinggi (MT) dalam tahun 1996-2000 ketika Muhyiddin kalah teruk di kerusi Naib Presiden. Itulah sebabnya, Muhyiddin antara orang yang paling gembira tidak terlibat memecat Anwar dari menjadi ahli Umno kerana keputusan MT itu tidak melibatkannya.
Hari ini, selepas Dr. Mahathir melihat Muhyiddin lantang bersuara, mahukan pelan peralihan kuasa tidak dilewatkan, perlu membenarkan pertandingan untuk jawatan Presiden dan timbalan, tiba-tiba Dr. Mahathir menjadi 'terlalu suka' pula dengan Muhyiddin. Barangkali, kalau Datuk Shahrir Abdul Samad yang juga antara 'orang Umno' yang paling tidak digemari Dr. Mahathir turut lantang mengkritik Pak Lah, mungkin Dr. Mahathir juga akan 'terlalu suka' kepada Shahrir.
Betullah kata orang, politik ini suatu permainan yang serba berkemungkinan. Hari ini, dia suka, esok belum tentu. Hari ini dia tidak suka, esok mungkin dia suka. Bila Dr. Mahathir boleh 'menyukai' Muhyiddin secara mendadak, hingga memperendah-rendahkan 'blue eyes boy' nya, Najib, ia seperti ada sesuatu yang perlu dilihat secara lebih mendalam.
Baru sehari dua yang lalu, Dr. Mahathir mengatakan Najib adalah pemimpin terbaik dalam Umno yang pernah dia temui kerana terlalu kurang aduan salah laku dibuat terhadap Najib ketika dia menjadi Perdana Menteri.
Sumber www.harakahdaily.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment