Tuesday, August 12, 2008

Bila mahu komersialkan sumber tenaga baru?

2014, Malaysia dijangka bakal mengimport minyak sepenuhnya. Nah, ini kenyataan yang menakutkan. Hari ini, dengan kuasa beli yang rendah dimiliki kebanyakan lapis rakyat, ditambah dengan kebergantungan yang tinggi terhadap bahan bakar ini - apakah nasibnya pula Malaysia selepas tahun tersebut?

Usul yang kembali dipopularkan ialah menggunakan sumber tenaga alternatif. Saya petik tulisan dalam Utusan Malaysia hari ini:


Penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui bukanlah perkara baru di Malaysia, misalnya pada tahun 1992, Dr. Baharudin Yatim dari Universiti Kebangsaan Malaysia, telah menganggarkan bahawa hampir 12 peratus dari jumlah tenaga yang digunakan negara adalah berpunca daripada sumber tenaga yang boleh diperbaharui, terutamanya biojisim.

Sebahagian besar dari penggunaan biojisim adalah dalam industri kelapa sawit. Misalnya pada Oktober 2006, Felda Holding Berhad (FHB) telah melakukan inisiatif ke arah usaha memanfaatkan tenaga biojisim dengan melaburkan sebanyak RM38 juta untuk projek loji biojisim yang berkemampuan menjana tenaga elektrik sebanyak 7.2 MW daripada sumber tandan kosong kelapa sawit.


Lihat juga ini.

Sebelum ini, kita juga kerap terbaca laporan berhubung kejayaan saintis/penyelidik bertemu bahan bakar baru yang boleh menjadi alternatif kepada penggunaan petrol/diesel. Air, sawit, tebu dan sebagainya pernah dibuktikan mampu mengurangkan kebergantungan terhadap petrol/diesel.

Malah, penyelidikan sumber tenaga lain seperti solar, angin dan nuklear juga sudah lama diusahakan di sini.

Cuma soalnya sekarang, bila boleh dikomersialkan (sumber tenaga untuk kenderaan)? Apakah yang menyebabkan begitu payah kita hendak berpindah pada sumber baru selain minyak?

Adakah kesinambungan penyelidikan ini sengaja 'dihalang' atau 'dibeli' supaya mereka yang berkepentingan dalam industri petroleum dan lain-lain industri berkaitan tidak tergugat?

Adakah tiada pelabur yang berkeyakinan untuk memulakan industri sumber tenaga yang baru?

Adakah kosnya terlalu tinggi untuk dikomersialkan? (Ada contoh kenderaan hibrid yang sangat mahal harganya)

Bilakah agaknya Malaysia dan rakyatnya baru dapat bersedia mengurangkan kadar penggunaan minyak untuk tahun-tahun berikutnya (pada 2006, penggunaan minyak di Malaysia sehari mencecah 499 ribu tong)?

Dan yang amat payahnya, bila kita dapat mengubah mentaliti kebergantungan terhadap hanya satu-satu sumber yang terang-terang semakin membebankan?
Oleh Hamdi Hanapi

No comments: