Ada banyak contoh perbuatan membodohkan rakyat yang dilakukan oleh parti-parti politik. Saya bawakan satu contoh - isu kenaikan harga minyak.
(i)
Bagi mengelakkan hilang populariti, kerajaan giat menyebarkan perbandingan harga minyak negara kita dengan negara jiran. Benar, memang lebih murah, kecuali Brunei.
Bagaimanapun, logika matematik yang disebarkan ini disanggah dari segi pariti kuasa membeli (purchase power parity) yang rendah di kalangan rakyat kita. Bermakna, harga minyak kita dianggarkan mahal kalau mengikut perbandingan ini. Pendapat lanjut boleh dibaca di sini.
Turut disanggah sebab negara kita mengeluarkan minyak, tidak seperti Singapura.
Penstrukturan semula subsidi pastilah disambut marah oleh rakyat. Kerajaan memberi alasan tidak mampu untuk menampung jumlah subsidi yang banyak, takut-takut negara jatuh bankrap. Tidak ada kerajaan di dunia ini yang memilih untuk tidak popular, tetapi tindakan mengurangkan peruntukan subsidi - yang membahayakan kerajaan - boleh menunjukkan bahawa alasan tersebut benar.
Bagaimanapun, ada juga hujah sanggahan berhubung alasan ini, seperti yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri. Katanya, negara kita kaya.
Andaikan alasan yang diberikan kerajaan itu tidak benar, kita mungkin beranggapan bahawa ada pihak atau individu tertentu yang mahu mengisi kantung mereka dengan keuntungan Petronas. Apatah lagi ada desas-desus Pakatan Rakyat bakal mengambil alih teraju kerajaan.
Dan lagi, jika alasan itu tidak benar, ini bermakna rakyat benar-benar telah diperbodohkan.
(ii)
Parti-parti pembangkang mengambil peluang ini untuk meningkatkan populariti mereka. Antara hujah yang paling popular, dan mudah ditemui di banyak tempat ialah perbandingan harga minyak kita yang lebih mahal berbanding dengan negara-negara seperti Arab Saudi, Venezuela, EAB, Kuwait dan beberapa yang lain.
Kalau diteliti, hujah ini juga boleh dianggap satu pembodohan ke atas rakyat.
Benar harga di negara-negara terbabit jauh lebih murah berbanding Malaysia. Tetapi, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mendesak harga minyak negara kita semurah itu, dan sebagai alasan yang boleh digunakan rakyat untuk menekan kerajaan,
1. Malaysia mengeluarkan minyak sebanyak 0.7 juta tong sehari. Kadar penggunaan di sini, 0.5 juta tong sehari. Jumlah eksport sebanyak 0.2 juta tong sehari. Kadar ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara pengeluar minyak yang dijadikan perbandingan.
Arab Saudi
Pengeluaran: 10.6 juta tong sehari
Eksport: 8.52 juta tong sehari.
Penggunaan: 2.13 juta tong sehari (20% daripada jumlah pengeluaran)
Emiriyah Arab Bersatu (EAB)
Pengeluaran: 2.94 juta tong sehari
Eksport: 2.56 juta tong sehari
Penggunaan: 0.38 juta tong sehari (13%)
Kuwait
Pengeluaran: 2.67 juta tong sehari
Eksport: 2.34 juta tong sehari
Penggunaan: 0.33 juta tong sehari (12%)
Venezuela
Pengeluaran: 2.8 juta tong sehari
Eksport: 2.18 juta tong sehari
Penggunaan: 0.64 juta tong sehari (23%)
Nigeria
Pengeluaran: 2.4 juta tong sehari
Eksport: 2.13 juta tong sehari
Penggunaan: 0.31 juta tong sehari (13%)
2. Bagaimanakah harga di Malaysia mampu semurah mereka sedangkan jumlah relatif pengeluaran dan eksportnya jauh berbeza sehingga 3-14 kali ganda? Negara-negara yang harga minyaknya murah itu hanya menggunakan sekitar 12 hingga 20 peratus sahaja daripada jumlah pengeluaran, berbanding Malaysia yang mencecah sehingga 71 peratus penggunaan!
3. Harga minyak di Brunei lebih rendah daripada Malaysia. Sebabnya, kadar penggunaan hanyalah sekitar 6% daripada jumlah pengeluarannya. Brunei menghasilkan 0.22 juta tong sehari dan jumlah eksportnya hampir sama dengan Malaysia iaitu sekitar 0.2 juta tong.
4. Itupun, Brunei terpaksa membelanjakan sehingga 5 peratus daripada jumlah KDNKnya sebagai peruntukan subsidi minyak. Negara-negara yang murah minyaknya (di atas) itu cukup sekadar memperuntukkan 2-4 peratus sahaja. Malaysia menggunakan 6-7 peratus daripada KDNKnya untuk saiz subsidi.
5. Bagaimana pula perbandingan kos pengeluaran? Khabarnya kos untuk mengeluarkan minyak di daratan (padang pasir) jauh lebih murah berbanding pengeluaran minyak di lautan.
6. Hanya Mesir layak untuk dijadikan perbandingan kalau mahu meneruskan hujah ini sebab negara itu menggunakan sehingga 98 peratus (0.65 juta tong sehari) daripada jumlah pengeluarannya, 0.67 juta tong sehari. Jumlah eksport hanyalah 14 ribu tong sehari. Harga jualan ialah RM1.03 seliter.
(Sumber: Energy Information Administration, 2006. Statistik terbaru akan dikemaskini pada 10 Julai ini)
Ini juga satu penipuan yang disebarkan oleh pembangkang. Rakyat dibiarkan bersandar pada hanya satu teori - Malaysia merupakan negara pengeluar dan pengeksport minyak, tetapi tidak mampu menawarkan harga murah seperti negara-negara di atas.
(iii)
Gejala berpolitik seperti ini menampakkan mereka (parti-parti politik terbabit) seolah-olah cuba mengenepikan kesan-kesan yang lebih serius ke atas rakyat.
Pertama, rakyat yang tidak faham terus dipermain-mainkan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang. Ini bersandarkan pada andaian sekiranya hal yang sebenar disorokkan. Yang disogokkan pada rakyat ialah hujah-hujah politiking demi kepentingan parti masing-masing.
Kedua, rakyat tidak digalakkan untuk berfikir, menganalisis atau membongkar realiti sebenar. Ini sangat menakutkan. Rakyat akan terus berkelubung dalam lingkungan mentaliti sempit, dangkal intelektual dan tiada daya tangkis propaganda. Yang diajak, berfikir bagi memilih parti mana yang lebih layak memerintah.
Malaysia dijangka mengimport minyak sepenuhnya pada 2014. Dan kalaulah benar, ini bermakna kita perlu berbuat sesuatu untuk terus mendapatkan bekalan yang secukupnya. Hari ini, keuntungan Petronas dilaburkan untuk tujuan itu, menurut kerajaan. Kalaulah ia benar, rakyat harus memahami kemelut ini.
Tetapi, tidak ramai yang berminat dan mahu memikirkannya, sebab terlalu dibiasakan dengan bentuk-bentuk menyenangkan hati (usaha popular) - maka ramai lebih memilih kesenangan dalam ruang implikasi yang lebih buruk, berbanding kesusahan dalam ruang implikasi yang lebih baik.
Dalam hal ini, rugi besar sekiranya peruntukan untuk pembangunan jangka panjang yang lebih utama terpaksa dialihkan untuk memuaskan hati rakyat.
Rakyat hanya diajar melihat sudut yang sempit. Maklumat yang disampaikan sarat dengan indoktrinasi, bukannya fakta sebenar.
Kalaulah pembangkang mendakwa kerajaan suka menyembunyikan maklumat dan membantutkan demokrasi berfikir, saya berpendapat pembangkang juga tiada bezanya. Usaha yang dijalankan lebih menunjukkan mereka oportunis politik, lebih senang memenuhi keinginan dan kepentingan politik berbanding memikirkan kesan-kesan lain.
(iv)
Bukankah ini menunjukkan rakyat hanya menjadi mangsa perang politik?
Oleh Hamdi Hanapi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment