Sunday, August 24, 2008

Juara liga, Piala FA dan Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut.



Kedah membuktikan kejaguhan mereka sebagai gergasi bola sepak negara selepas membenam Selangor 3-2 pada perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-82 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.Kejayaan itu sekali gus menjulang Kedah untuk terus mempertahankan koleksi tiga gelaran iaitu juara liga, Piala FA dan Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut.

Di samping itu, ia merupakan kali keempat Kedah menjulang Piala Malaysia selepas melakukannya pada 1990, 1993 dan 2007.

Lebih manis, kejayaan Kedah itu dicipta di depan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan kira-kira 50,000 penonton.

Kejayaan gemilang ini turut dilihat sebagai hadiah perpisahan paling bermakna buat Marlon, Nelson dan Cornelius Bernard Huggins ekoran larangan terhadap khidmat pemain asing mulai musim depan.

Marlon dan Nelson menyeksa Selangor dengan dua gol dalam tempoh dua minit mulai minit ke-30 disusuli Fadly pada minit ke-38 sementara Selangor membuka jaringan menerusi pemain import dari Liberia, Frank Seator, minit ke-17 sebelum Safee Sali cuba merapatkan jurang kedudukan pada minit ke-77.

Anak didik Azraai Khor Abdullah turut menyekat hajat Gergasi Merah Kuning bimbingan Dollah Salleh untuk menebus dendam kekalahan 3-2 pada perlawanan akhir Piala FA di Shah Alam, 21 Jun lalu.



Selepas merangkul dua kejuaraan utama dalam Liga Malaysia musim ini, pasukan bola sepak Kedah meneruskan kecemerlangan apabila skuad Kenari itu memenangi tujuh daripada 10 anugerah bola sepak hari ini.

Pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 100Plus di sini, penjaga gol Kedah Mohd Helmi Eliza Elias mengungguli dua anugerah iaitu Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Paling Berharga.

Helmi, 25, yang beraksi konsisten untuk Kedah sepanjang musim ini selain aksi bersama skuad kebangsaan, telah menarik perhatian peminat tempatan sewaktu perlawanan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea baru-baru ini.

Ketua jurulatih Kedah Mohd Azraai Khor Abdullah menerima penghormatan sebagai Jurulatih Terbaik.

Anugerah-anugerah lain dimenangi Kedah adalah Pemain Pertahanan Terbaik yang dimenangi ketua pasukan Victor Andrag manakala pemain kebangsaan Khyril Muhymeen Zambri merangkul anugerah Pemain Midfield Terbaik.

Kedah melengkapkan dominasi mereka apabila penyerang Marlon Alex James dinobatkan sebagai pemain import terbaik manakala Fazli Baharom dinamakan sebagai Pemain Harapan Terbaik.

Anugerah Penyerang Terbaik dimenangi Liew Kit Kong dari kelab Kuala Muda NAZA manakala Persatuan Bola Sepak Terbaik dimenangi Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan dan Kelab Penyokong Terbaik oleh Kelab Penyokong Bola Sepak Perak.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata pemilihan pemenang dilakukan berdasarkan sistem undian daripada orang ramai menerusi lawan web rasminya www.fam.org.my sejak dua bulan lepas.

No comments: