Pocong, langsuir, pontianak, hantu raya, jenglot, bunian dan pelbagai lagi makhlus halus yang sinonim dengan masyarakat Melayu sebenarnya adalah kelompok makhluk yang sama yang digelar sebagai jin. Ada antara yang disebutkan di atas adalah syaitan. Syaitan itu sebahagian daripada jin.
Iblis yang kita sedia maklum mempunyai dendam yang mendalam terhadap Nabi Adam a.s. dan cucu-cicitnya (manusia) juga merupakan golongan jin. Sejarah Iblis agak istimewa berbanding jin yang lain. Iblis merupakan satu-satunya jin yang dilantik untuk menjadi ketua seluruh malaikat walaupun Iblis bukannya seorang malaikat.
Ketaatan dan amal ibadat yang tinggi mengangkat Azazil (nama asal Iblis) menjadi ketua para Malaikat. Jin dijadikan daripada api. Malaikat daripada cahaya. Manusia daripada tanah. Ciptaan daripada api dianggap lebih mulia daripada tanah. Perintah Tuhan untuk sujud kepada Adam tidak dipatuhi Azazil. Serta-merta, kemuliaannya sebagai ketua malaikat dilucutkan dan gelaran Iblis Laknatullah diberikan.
Dendam kepada Adam diturunkan kepada anak cucu-cicitnya. Setelah dijanjikan Tuhan untuk mendapat umur yang panjang dan boleh hidup sehingga kiamat, Iblis bersumpah untuk menyesatkan seluruh anak adam (manusia) sedaya-upaya. Penyesatan kepada manusia itu pelbagai bentuk.
Masyarakat Melayu yang hampir 100% beragama Islam seperti manusia lain yang tidak terlepas dari penyesatan. Yang ingin saya fokuskan di sini ialah tentang penyesatan dalam bentuk mempersekutukan Tuhan dengan makhluk jin. Dalam Islam, ini dipanggil syirik.
Sedar atau tidak sedar, ramai di kalangan orang Melayu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti berunsur syirik. Yang melibatkan diri secara langsung, akhirnya makan diri sendiri dan menyusahkan anak cucu di kemudian hari.
Kebanyakan orang Melayu sudah biasa mendengar tentang saka. Apa itu saka? Kerana terlalu mengikutkan nafsu untuk jadi kaya, untuk jadi tampan dan cantik secara tidak semulajadi, untuk jadi gagah perkasa sekelip mata, telah berhubung secara langsung dengan jin untuk memenuhi impian mereka. Susuk untuk jadi menarik dan manis hanyalah keindahan wajah palsu yang menipu pandangan mata kasar manusia.
Bagi yang ingin kaya cepat, nombor ekor dan rompakan secara halus antara yang menjadi pertaruhan. Yang hendak memenangi wang besar nombor ekor, dikatakan perlu mengunjungi kubur atau makam sekian-sekian pada waktu malam sambil membaca mentera. Kemudian akan datanglah 'atuk' atau 'nenek' yang akan memberikan nombor bertuah 4 digit, 5 digit kepada cucu-cucu untuk menjadi kaya-raya. Yang hendak menjadi perompak professional pula, jin yang biasanya dipanggil toyol digunakan untuk menjadi perompak upahan yang memang sama sekali tidak dapat dikesan oleh pihak polis.
Lain pula cerita tentang orang yang hendak jadi kuat dengan cara yang mudah dan ekpres. Ada tok guru silat yang memberitahu anak muridnya yang langsung tidak pernah bersilat tetapi setelah diajar mentera tertentu, si anak murid terus membuka langkah seperti seorang pendekar. Ada juga tok guru yang memberitahu kononnya roh Hang Tuah, Hang Jebat boleh dipanggil untuk meresap ke dalam badan dan membolehkan kita bersilat seperti pahlawan Melayu.
Secara logiknya, orang yang sudah mati tidak boleh dipanggil meresap ke dalam tubuh orang yang bernyawa. Yang dipanggil itu sebenarnya bukan Hang Tuah atau Hang Jebat, tetapi jin yang berjaya memperbodohkan manusia.
Untuk menjadi cantik, kaya, atau kuat seperti semua di atas melibatkan perjanjian manusia dan jin. Jin akan memenuhi hajat si pemanggil dan sebagai timbal balas, orang itu perlu melakukan perkara-perkara tertentu yang biasanya bertentangan dengan hukum syarak. Apabila orang ini mati, jin yang sudah biasa berdamping dengannya akan berusaha untuk mencari salah seorang waris si mati (anak-anak, cucu, abang, adik dan lain-lain) untuk meneruskan apa yang dilakukan oleh si mati dahulu. Jin yang mengejar waris si mati inilah yang dinamakan saka.
Dicatat oleh nadzri di Khamis, Julai 24, 2008
No comments:
Post a Comment