Monday, August 11, 2008

Harga minyak diputuskan 1 September

Kerajaan sedang memantau harga minyak global setiap bulan dan sekiranya aliran harga minyak menurun atau stabil pada AS$100 hingga AS$120, secara prinsipnya kerajaan memang bersedia untuk menurunkan harga petrol.


Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Sekarang ini, ketika saya sedang menulis, harga minyak dunia ialah AS$113.04 setong (papan harga di sebelah kanan laman, di bawah). Sekiranya ia tidak naik melebihi paras AS$120 (ragamnya stabil sepanjang bulan), kita akan menikmati harga minyak yang lebih murah berbanding RM2.70 seliter - bermula 1 September.

Ini janji kerajaan seperti yang telah diumumkan sebelum ini (jika tiada sebarang perubahan pada harga minyak tempatan, walaupun sudah dipastikan harga dunia tidak melepasi paras AS$120 - kerajaan pasti akan menanggung akibat yang lebih besar!).

Dengan pengekalan subsidi pada kadar RM0.30 seliter, berapa sen agaknya harga minyak bakal diturunkan?



Harga minyak diputuskan 1 September

PETALING JAYA 1 Ogos - Kerajaan akan mengumumkan sama ada menurunkan harga minyak atau mengekalkan kadar harga semasa pada 1 September ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan menurunkan harga minyak itu hanya boleh dilakukan sekiranya harga bahan api dunia berada antara paras AS$100 (RM326) hingga AS$120 (RM391.2) setong.

''Kerajaan sedang memantau harga minyak global setiap bulan dan sekiranya aliran harga minyak menurun atau stabil pada AS$100 hingga AS$120, secara prinsipnya kerajaan memang bersedia untuk menurunkan harga petrol.

''Sekiranya harga minyak global berada di atas paras AS$125 (RM407.50), penurunan sukar dilakukan dan kerajaan akan terus mengekalkan harga semasa RM2.70 (seliter) sehingga akhir tahun ini,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan menaikkan harga minyak kepada RM2.70 seliter pada awal Jun lalu ketika harga purata minyak dunia berada pada paras AS$125 setong Mei lalu.

Beliau menambah, dengan harga tersebut (AS$125 setong), harga minyak yang patut dijual kepada pasaran adalah sebanyak RM3 tetapi telah diberikan subsidi oleh kerajaan sebanyak 30 sen.

Nor Mohamed menambah, kerajaan tidak boleh menurunkan harga petrol hanya berdasarkan kejatuhan harga bahan api itu dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menanggung tambahan sebanyak 66 sen semasa harga minyak global melonjak pada paras AS$148 (RM482.48) dua bulan lalu.

''Kerajaan tidak boleh menurunkan harga petrol apabila harga minyak dunia jatuh dalam sehari dua kerana ia akan menyukarkan kerajaan untuk membuat penyelarasan harga.

''Oleh sebab itu, kita perlukan pemantauan dalam tempoh sebulan bagi membolehkan kerajaan mengemukakan formula terbaik sekiranya harga minyak global naik semula,'' jelasnya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan mengenai formula penurunan harga petrol dalam tempoh terdekat ini.

Ditanya tentang aliran penurunan harga minyak, Nor Mohamed berpendapat harga bahan api itu semakin turun berikutan dolar Amerika semakin stabil.

Bagaimanapun, beliau yakin harga minyak tidak akan jatuh di bawah AS$100 setong.

No comments: