Tuesday, August 12, 2008
Starbucks ke universiti
"Saya terfikir kenapa tidak kita bawa Starbucks ke universiti, usaha ini boleh menggalakkan mereka melakukan perbincangan di kafe yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi.
"Saya tidak nampak ada halangan atau masalah yang akan timbul tetapi ia mesti dibuat di pusat pelajar, tambahan pula, banyak syarikat yang bersedia menawarkan perkhidmatan itu di universiti,''
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron
Ini sangat mengejutkan. Laporan penuh boleh dibaca di sini (dan versi yang sudah disunting).
Saya menyokong banyak usaha kerajaan, tetapi yang ini saya bantah sama sekali. Kenapa dalam banyak-banyak turutan usaha yang perlu dilaksanakan kementerian terbabit untuk universiti, yang ini didahulukan?
(i)
Menurut beliau lagi, ramai penuntut universiti yang sanggup keluar kampus untuk mengunjungi kafe Starbucks di bandar sambil melakukan tugasan mereka.
Ia cukup was-was, lagi-lagi kuantitinya. Tambahan, kalau ditanya pada rata-rata pelajar yang berkunjung ke kafe itu, jawapan mereka ialah kerana prestij. Bahkan pelajar yang memerhatikan pengunjung terbabit, turut berpandangan bahawa melepak di Starbucks menampakkan ketinggian status sosial.
Yang sanggup keluar kampus itu, tidak semestinya bermaksud mahu ke Starbucks semata-mata, tetapi ke pusat membeli-belah.
(ii)
I have not seen a single Starbucks, Coffeebean, Pizza Hut or Dominos and we are cheering. One presentor from Istanbul was lamenting that these icons of the West are destroying the traditional cafes in Turkey.
Lik Meng, Goodbye Napoli.
Ini persoalan budaya. Starbucks atau Dunkin Donuts bukan budaya tempatan. Apakah Timbalan Menteri ini lupa satu ketika Universiti Malaya pernah berkocak dek usaha memasukkan McDonalds ke dalam kampus itu?
Seyogianya imperialisme ekonomi seperti ini perlu dikekang. Kita ada banyak pilihan premis tempatan, kalaulah kita kemaruk sangat mahu membudayakan 'elitisme kopi' di kalangan pelajar.
Apakah gunanya MARDI mengusahakan tanaman kopi Liberica? KopieSatu keluaran FAMA (malah mula dipopularkan di Agro Bazaar di Restoran Jejantas Ayer Keroh, Melaka)? Adalah lebih baik membudayakan produk tempatan berbanding mempromosi produk Washington ini.
Satu lagi, budaya elitisme kebaratan. Kenapa beria-ia benar mahu menggalakkan 'mereka melakukan perbincangan di kafe yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi' dalam lingkungan budaya sebegini? Starbucks di Barat tidak lebih sekadar kedai mamak/kopitiam di sini.
Di sini, pelajar menerimanya sebagai satu prestij. Kita ambil budaya minum kopi Barat, dan kita pula iktirafnya sebagai elit (di kalangan pelajar ia sudah cukup elit - atau mungkin budaya metropolitan - tak perlu sejauh kafe di hotel lima bintang). Bermakna, 'prestij' itu seperti mahu dijadikan satu tarikan untuk berdiskusi.
Suasana elit atau berprestij belum tentu menjamin diskusi yang berprestij! Turutan usaha yang perlu didahulukan ialah memprestijkan pemikiran pelajar, bukan imejnya!
Parah betul bila universiti yang selayaknya menjadi pusat penyebar budaya (dan penganjur!), ditakluk pula oleh budaya luar.
(iii)
Peringkat umur muda (pelajar) ketika ini didominasi dengan 'perasaan inginkan perhatian' - terutamanya dalam proses menjalin hubungan cinta. Nah, menonjolkan prestij adalah salah satunya. Kita risaulah pelajar yang tak berduit cuba-cuba bergaya di kafe ini.
Kelak, masalah pengurusan kewangan pelajar akan jadi lebih serius (harga secawan Caffè Latte keluaran Starbucks lebih RM10, manakala keluaran tempatan tidak lebih RM5).
Dalam keparahan ekonomi yang terbeban ke atas kebanyakan rakyat hari ini, kenapa perlu dihadapkan lagi pada anak-anak muda yang sebahagiannya tidak begitu memahami (bahkan tidak mahu ambil peduli) akan hal itu?
Kementerian sudah membenarkan premis ini membuka francaisnya dengan harapan, pemiliknya memberi subsidi kepada pelajar. Kalaulah harganya dapat diturunkan sehingga tidak mengganggu kewangan pelajar, kita dapat berkompromi - dalam bab ini.
(iv)
Katanya, walaupun terdapat IPTA yang sudah menyediakan perkhidmatan Wi-Fi, namun ia masih belum dilakukan secara menyeluruh.
Melayari internet di Starbucks sambil menghirup kopinya yang sangat lazat memang sesuatu yang mengasyikkan bagi sesetengah orang. Tetapi masalah Wi-Fi di kampus yang dibangkitkan oleh Timbalan Menteri ini sangat meragukan.
Kenapa tidak langsung dipasang perkhidmatan Wi-Fi di kafeteria yang sedia ada di kampus? Kalau jawapan yang diberi - kementerian/universiti tidak sanggup menampung kos:
1. Biarlah pengusaha kafeteria yang menampungnya. Kadar sewa bagi penyewa premis boleh dinaikkan mengikut kos Wi-Fi (tidaklah membebankan sebab bukannya begitu mahal, apatah lagi kalau diagihkan)
2. Di fakulti, biasanya ada satu ruang pelajar berkumpul (saya tidak tahu apa istilahnya, ia banyak kerusi dan meja, sama seperti ruang kafeteria) dan kawasan ini selalunya ada capaian Wi-Fi (kalau tidak ada, alangkah sedihnya kualiti infrastruktur yang disediakan). Apalah salahnya kalau kawasan ini ada satu kiosk, atau lori bergerak yang menjual kopi/minuman yang serupa dengan nikmatnya kopi Starbucks?
3. Ataupun, serahkan saja pada badan pelajar untuk menjalankan operasi perniagaan sepertinya.
(v)
Usaha Timbalan Menteri ini takut-takut menimbulkan salah sangka. Kita ragu-ragu dan mahu tanyalah pada beliau - adakah ia ada kaitan dengan kepentingan perniagaan yang membawa untung kepada politikus/birokrat/kumpulan tertentu?
(Mohon maaflah pada yang berkenaan. Kita tak menyekat perniagaan Starbucks atau syarikat multinasional sepertinya, tetapi risau akan kesannya di kampus)
Oleh Hamdi Hanapi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment