BAGI Nuha, dia tetap akan pulang ke kampung pada raya ini meskipun tambang bas dinaikkan. "Kalau tak balik, nak beraya di mana?" tanya anak kelahiran Perak ini. Dia sudah bersedia untuk membayar lebih daripada RM21 yang biasa dibayar untuk perjalanan empat jam dari Kuala Lumpur ke Taiping.
Pengumuman kenaikan tambang bas ekspres dan bas henti-henti sebelum Aidilfitri ini sudah tentunya bukan sesuatu yang dialu-alukan oleh Nuha atau mereka yang menjadi pengguna setia bas ekspres.
Suka atau tidak, kenaikan ini tidak dapat dielakkan akibat kos tinggi operasi termasuk harga diesel yang naik kepada RM1.43 seliter berbanding 71 sen sejak kali terakhir tambang bas dinaikkan pada tahun 2005.
Meskipun kenaikan tidak akan sampai 100 peratus seperti yang diminta Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), pengguna bas pasti merasa keperitan, walaupun sedikit.
Ini memandangkan kenaikan sara hidup yang semakin melonjak sejak kerajaan menaikkan harga petrol daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter dan diesel daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter awal Jun lepas.
Kenaikan bahan api itu juga melonjakkan kadar inflasi yang mencecah 7.7 peratus, tertinggi sejak 26 tahun lalu.
Ekoran penstrukturan semula subsidi petrol dan diesel Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan memberi keutamaan terhadap usaha dan langkah meningkatkan sistem pengangkutan awam.
Kata beliau, liputan sistem rel transit bandar akan diperluas dan lebih banyak terminal pengangkutan awam bersepadu akan dibina.
Di samping itu, kecekapan perkhidmatan komuter, bas dan teksi juga akan ditingkatkan bagi mengurangkan penggunaan kereta persendirian khususnya di Lembah Klang.
ORANG ramai mengharapkan pengangkutan awam dapat membawa mereka sampai ke destinasi yang dituju lebih cepat berbanding kenderaan sendiri.
Kenyataan itu pasti melegakan banyak pihak khususnya mereka yang bakal menjadi pengguna 'terpaksa' pengangkutan awam kerana tidak dapat lagi menanggung kos tinggi harga bahan api.
Alasan tidak selesa, leceh dan lambat yang sering digunakan kepada soalan mengapa tidak menggunakan pengangkutan awam, mungkin tidak akan kedengaran lagi.
Bagi Presiden Fomca, Datuk N. Marimuthu, Malaysia memerlukan sistem pengangkutan yang lebih baik supaya rakyat dapat menggunakan pengangkutan awam secara lancar dan tersusun.
Beliau yang juga kerap menggunakan pengangkutan awam terutamanya tren Transit Aliran Ringan (LRT) mempunyai satu senarai mengapa pengangkutan awam di Malaysia dipinggirkan oleh sesetengah pengguna.
"Pengguna mahukan persekitaran yang selesa ketika berada dalam pengangkutan awam. Perasaan selesa ini adalah faktor penarik. Ketidakselesaan akan menjadi faktor penolak.
"Keselesaan mesti diletakkan sebagai komponen penting dalam industri pengangkutan. Keadaan yang bersesak-sesak seperti tin sardin perlu dielakkan.
"Pengusaha pengangkutan perlu membuat unjuran pertumbuhan dari segi bilangan pengguna bagi mengelakkan keadaan itu," kata Marimuthu baru-baru ini.
Menurut beliau, kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam bermula dari kaunter tiket atau bagi sesetengah bas, pemandu adalah penjual tiket.
Khidmat yang pantas, maklumat yang baik, kemudahan tempahan, pilihan laluan dan ketepatan waktu menjadi petunjuk yang menjamin pengguna akan terus menggunakan satu-satunya pengangkutan awam itu.
"Dalam kebanyakan kes, mereka yang menggunakan pengangkutan ini mungkin tidak akan sampai ke tempat yang dituju pada waktu yang diperlukan.
"Kegagalan itu akan menyebabkan pengguna menjadi tawar hati. Ramai juga yang berhenti menggunakannya kerana keadaan yang bersesak-sesak pada waktu puncak," jelas Marimuthu.
Beliau turut mencadangkan Sistem Pengangkutan Berintegrasi (ITS) yang dapat menyelesaikan isu pengangkutan awam di negara ini.
ITS yang menurut Marimuthu berasaskan model sistem pengangkutan awam Singapura dan Jepun, membabitkan satu sistem bagi semua pengangkutan dengan beberapa pengusaha.
Cadangan Fomca mengenai ITS ini, katanya, dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan juga jawatankuasa kecil kabinet mengenai pengangkutan awam.
"Idea ini mungkin seakan sama dengan RapidKL tetapi apa yang diperlukan ialah lebih banyak disediakan untuk mengumpul penumpang dan ini yang boleh ditangani sepenuhnya oleh RapidKL.
"Pengguna tak kisah berjalan 100 atau 200 meter untuk naik bas tetapi apa yang mereka perlukan ialah mereka boleh sampai ke destinasi lebih pantas dengan menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri," jelasnya.
KESELESAAN mesti diletakkan sebagai komponen penting dalam industri pengangkutan.
--------------------------------------------------------------------------------
Di bawah sistem ITS, pengguna mempunyai pilihan untuk memilih syarikat berdasarkan kepuasan perkhidmatan.
Di bawah sistem satu bumbung ini juga, terdapat jaringan antara perkhidmatan pengangkutan utama dengan perkhidmatan pengangkutan sokongan bagi kemudahan pengguna.
"Apa yang perlu dipastikan ialah tidak ada monopoli di bawah sistem ITS ini sebaliknya ia mesti berasaskan persaingan sihat," kata Marimuthu. - Bernama
Thursday, August 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment