Tuesday, August 12, 2008

Muzakarah atau kongsi kuasa?



Muzakarah atau kongsi kuasa?
Saya yakin, yang merisaukan sebahagian pihak ialah apabila muzakarah ini menjadi tajuk-tajuk utama media sehingga menimbulkan satu andaian oleh rakyat - Pas akan bergabung dengan Umno. Maka kesannya:

1. Akan ada perpecahan apabila ada pihak yang bersetuju vis-a-vis menentang
2. PKR dan DAP akan bertambah curiga pada Pas
3. Menggagalkan usaha Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kerajaan.

Sebab itulah muzakarah ini mendapat tentangan, dan yang inilah tanggapan umum.

(i)

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohamad Khir Toyo berterus-terang tentang impiannya menyatukan Umno dengan Pas di Selangor.

Saya telah mencadangkan agar diadakan satu kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional di Selangor.

Saya juga telah membawa pemimpin tertinggi Pas bermuzakarah dengan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Saya juga mencadangkan agar Pas diberi jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar serta 4 EXCO. Malahan saya menolak sebarang jawatan bagi mengelakkan dianggap menguasai EXCO yang bakal dibentuk.
Dan impian ini bukannya angan-angan, tetapi dilaporkan perbincangan ini sememangnya pernah berlangsung beberapa hari selepas keputusan PRU pada 8 Mac lalu diumumkan - antara yang terlibat termasuklah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Dato' Mustapha Ali dan Abdul Khalid Samad (MP Shah Alam).

Bukan sekali, tetapi sudah tiga kali! Kali kedua Nasharuddin bertemu PM di Parlimen. Itu belum lagi sumber cakap-cakap awam yang turut menyebut adanya kumpulan Pas Reform!

Menurut Dr Khir lagi:

Malangnya, pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas, melalui Setiausaha Agungnya, Kamaruddin Jaafar, telah menggagalkan usaha tersebut. Saya yakin selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam Pakatan rakyat, muzakarah tersebut tidak akan memberi sebarang kesan.

Muzakarah bertujuan untuk kongsi kuasa ini nyata ditentang ramai. Kalau ditanya saya, jawapannya - saya bersetuju untuk apa saja muzakarah sekalipun bagi mencapai kata sepakat UMNO bergabung dengan Pas, sebab saya tidak ada kepentingan apa-apa.

(ii)

Yang ramai bersetuju ialah muzakarah bertemakan isu perpaduan Melayu dan Islam. Dan inilah yang disebut-sebut sekarang ini.

Bagaimanapun, kita tidak begitu dihebahkan tentang butiran muzakarah yang telah dan bakal dilangsungkan. Maka di sini, ada beberapa persoalan yang perlu dijelaskan:

1. Apakah ada kemungkinan kemelut Melayu dan Islam ini dapat ditangani melalui penyelesaian politik - Umno bergabung dengan Pas?

2. Perlukah muzakarah ini disiarkan untuk tontonan umum (andaikan tiada isu sensitif)?

3. Sejauh manakah rakyat mampu mentafsir erti muzakarah ini? Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub dalam satu laporan kelmarin menyebut, muzakarah antara Pas dengan Umno mustahil menjadi kenyataan kerana stigma ahli-ahli Pas peringkat bawahan yang mengaitkan muzakarah ini merupakan perbincangan pakatan politik.

(iii)

Stigma yang dimaksudkan ialah pegangan ideologi. Oleh sebab terlalu banyak cakap awam yang menyebut muzakarah ini merupakan perbincangan untuk bergabung, maka pastinya ia ditentang. Tambah pula, Nik Aziz sendiri dilaporkan menentang perkongsian kuasa sebegini sebab beliau pernah melalui keperitan Pas ditendang BN pada 1978 dulu.

Sama ada benar atau tidak, Anwar Ibrahim antara politikus yang paling takut kalau hal ini benar-benar terjadi. Hasratnya untuk menjadi PM mungkin terbantut. Beliau terpaksa bersaing dalam penawaran yang tinggi, kerana ada khabar angin menyebut penggabungan Pas dan Umno menjanjikan:

Lima jawatan menteri penuh ditawarkan kepada para pemimpin Pas
Pas ditawarkan jawatan Menteri Besar di Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan.
Jawatan exco akan diberikan kepada ADUN Pas di Terengganu, Pahang, Perlis dan Johor.
Pas akan ditawarkan bertanding semua kerusi yang dimenanginya dalam PRU-12 termasuk semua kerusi yang dimenangi oleh PKR dan DAP.
Beberapa pemimpin akan dilantik menjadi senator.
(iv)

Saya kekurangan maklumat. Tolong bantu saya - muzakarah ini tertutup atau terbuka? Sebab kekeliruan kandungan muzakarah inilah yang mencetuskan perbalahan! Kalau ia bersifat tertutup, kenapa umum secara terbuka?

No comments: