Wednesday, May 20, 2009

NILAI SEBUAH PEKERJAAN

NILAI SEBUAH PEKERJAAN

May 1st, 2007 by saifulislam



"Kenapa anda mahu jadi doktor?", saya melemparkan soalan ini, selepas
mempertontonkan kepada pelajar di IMU tadi video dari koleksi Stephen
R. Covey.

Pelajar yang hadir tersenyum-senyum.

"Sebab minat biologi?", saya bertanya.

Ramai yang ketawa. Itu mungkin alasan semasa di Tingkatan 4 dahulu.

"Sebab suka tolong orang?", saya terus bertanya.

Ramai yang mengangguk.

"Well, come on. Ramai yang hantar anak buat perubatan supaya boleh
rawat ibu bapa sendiri nanti. Tetapi realitinya, kamu bukan manusia
pertama boleh muncul memberikan rawatan jika berlaku apa-apa kepada
ibu bapa. Malah ketika di bilik pembedahan dan wad kecemasan, ahli
keluarga bukanlah calon terbaik untuk merawat ahli keluarga sendiri.
Namanya, profesionalisma", saya menyambung provokasi.

"Kamu nak tolong suami, isteri dan anak-anak? Rasa saya, suami doktor,
isteri doktor dan anak-anak doktorlah yang paling banyak kena
berdikari", saya terus mencucuk jarum.

"Saya selalu beritahu isteri, bahawa apabila awak berjaya jadi
specialist nanti, jangan lupa bahawa orang yang paling banyak
berkorban ialah tiga orang ini. Anak-anak kita. Merekalah yang
berkorban, melepaskan masa yang sepatutnya kita beri kepada mereka,
agar kita berjaya", saya berkongsi cerita.

Saya sengaja mengacah pelajar-pelajar di IMU supaya berfikir
bersungguh-sungguh, mengapa mereka memilih bidang perubatan.

Jika anda seorang perempuan yang bakal menjadi doktor, anda perlu tahu
bahawa walaupun negara amat terdesak kepada adanya ramai tenaga pakar,
anda tidak akan diberikan 'kemudahan' untuk menjadi pakar. Anda tidak
ada cuti bersalin, seandainya anda 'termengandung' semasa sedang
membuat program pakar. Anda tidak menerima sebarang elaun untuk
membeli buku. Semua kena guna duit sendiri. Kursus dan seminar yang
anda hadir, anda mesti membayarnya sendiri. Mungkin anda terpaksa
menawarkan diri menjadi AJK agar dapat dikecualikan dari yuran,
walaupun anda tahu akibat menjadi AJK itu. Semua orang mahu anda
bekerja seperti orang lain, ketika anda terdesak menghadapi
peperiksaan. Tiada belas, tiada insentif.

Misalnya isteri saya, kerana 2 minggu cuti yang diperuntukkan untuk
kecemasan dan lain-lain, sudah pun digunakan bersalin, lupakanlah
kenduri kendara di kampung, lupakanlah ibu bapa, 6 bulan tiada cuti.

Bukan calang-calang kerja.

Anda mahu menjadi pelajar perubatan kerana mahu menolong orang?
Tolonglah diri sendiri kerana anda yang amat memerlukan pelbagai
pertolongan itu nanti.

"Maka, apa tujuan anda mahu menjadi doktor?", soalan yang sama saya
ulang sekali lagi.

Pelajar-pelajar itu termenung. Sesi soal jawab tiada soalan, kerana
semua soalan adalah untuk ditanya kepada diri sendiri, dan diri
sendirilah yang perlu menjawabnya.


PERSOALAN NILAI


Kuliah kali ini adalah tentang nilai. APA NILAI YANG DIBAWA DALAM
SEBUAH PEKERJAAN? Dalam sebuah kehidupan.

Jika seorang isteri mengungkit di hadapan suami, bahawa kerja
rumahnya, kerjanya 'melayan suami', tidak mungkin mampu dibalas
walaupun dengan bayaran RM2000 sebulan, maka nilai apakah yang ada
pada dirinya? Saya tidak bermaksud membela lelaki yang tidak tahu
menghargai isterinya, tetapi dalam kes ini, si perempuan itu sudah
menjatuhkan dirinya.

Hanya 'bibik' sahaja yang buat kerja rumah untuk duit. Maafkan saya,
hanya pelacur sahaja yang meletakkan harga pada layanannya terhadap
seorang lelaki.

Seorang ibu membuat kerja rumah kerana Nilai Kasih Sayang. Seorang
isteri juga melakukan apa yang ia lakukan atas NILAI KASIH SAYANG.
Maka tanpa kasih sayang, perkahwinan adalah beban. Malah sumber
kebencian.

Menentukan nilai, sebagai pendorong kita melakukan sesuatu adalah
sangat penting. Nilai itu akan mencorakkan tingkah laku kita terhadap
pekerjaan yang kita lakukan.


NILAI DUIT

Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan
dengan banyak masalah , walaupun wang berjaya diperolehi.

Sekarang ni sudah menjadi satu trend kepada dua industri, kalau boleh
saya katakan industri. Yang pertamanya adalah industri perubatan, dan
yang keduanya, industri berkaitan petroleum . Trend yang saya
maksudkan di sini, adalah perpisahan di antara seorang suami atau
isteri dengan pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek kerjaya dan
desakan nilai wang itu tadi.

Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumahtangga, berpisah
sementara (bukan calang-calang sementara) demi melepaskan isteri yang
bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk.
Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum,
bekerja di negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk
meningkatkan kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang
menagih kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan... tetapi output
daripadanya merunsingkan saya.

Itu, belum lagi dikorek kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang
atau Kuala Lumpur ....

Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya
ditakdirkan Allah bertemu dengan outputnya. Saya bertemu dengan
anak-anak remaja, yang ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun.
Saya bertemu dengan kes, suami main kayu tiga ketika isteri
meninggalkannya gersang setahun di tanah air. Saya juga bertemu dengan
kes isteri yang mem'poligami' kan suaminya dengan bersuamikan orang
lain semasa di perantauan. Dan kes-kes ini membiak dari semasa ke
semasa. Tidak pernah menjadi tajuk berita. Nauzubillah

Tentu sahaja, hasil kewangan dari kenaikan pangkat dengan bekerja jauh
dari pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga. Tetapi
perubahan itu apakah ke arah positif atau negatif? Maka yang dikejar
dalam sebuah rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan
pada nilai material?


NILAI - HARGA - KORBAN

Nilai berkadar terus dengan harga. Tinggi nilai, tinggilah harga.
Tinggi harga, banyaklah korban dan pengorbanan yang diperlukan bagi
mendapatkannya. Untuk bekerja dengan gaji RM10,000 sebulan, apakah
harga yang perlu dibayar untuk nilai material RM10K itu? Kehancuran
rumah tangga, kepincangan emosi dan identiti anak-anak, dosa... itulah
harga yang mungkin perlu dibayar untuk nilai material yang dijadikan
asas bekerja.

Anak-anak yang mewah dengan nilai material ini, gersang dan menderita
pada nilai kasih sayang dan perhatian ibu bapanya. Sering saya ulang,
'mereka adalah generasi yang kesunyian'.

Jangan terkejut, dengan hanya 3 hari perkenalan, seorang remaja boleh
menjadi mangsa lelaki yang berniat jahat. Mengapa begitu mudah? Lelaki
itu memberi sesuatu yang tiada diperolehi remaja tersebut di dalam
keluarganya iaitu KASIH SAYANG dan PERHATIAN.

Malam ini saya mahu pelajar-pelajar yang hadir ke kuliah ini, melatih
diri mereka dengan tabiat " Begin With the End in Mind". Lihatlah apa
yang menanti di hujung perjalanan mereka sebagai seorang doktor
perubatan, jurutera dsb

TENTUKAN NILAI SEAWAL PERJALANAN

Maka, semenjak mereka di bangku pengajian, soal nilai yang ingin
dibawa pada kerjaya di masa hadapan, mesti ditentukan.

Anda boleh mengambil sikap tidak mengendahkan hal ini, bekerjalah
selagi mampu, kejarlah habuan material yang dikejar selama ini, tetapi
anda perlu meneliti harga yang perlu dibayar. Perhatikan di mana
korbannya? Harga dan korban itu mungkin rumah tangga, mungkin pesakit,
dan yang paling besar, mungkin sistem itu sendiri.

Hati saya amat terhiris, mendengar kawan-kawan saya dan isteri,
mengeluh tentang satu demi satu penceraian yang menimpa pasangan
doktor. Sama ada kedua-dua suami dan isteri itu doktor, atau salah
seorang daripada mereka.



PROVOKASI DEMI MASA DEPAN

Atas provokasi inilah, saya mengajak sahabat - sahabat, untuk menyemak
hubung kait bidang pekerjaan dengan Tujuan Hidup mereka. Kenang
kembali siapa mereka di alam ini? Kenal diri, dan kenallah Ilahi.

Kita sebagai hamba Allah, menjaga tali kita dengan Dia yang disembah.
Yang diabdikan diri kepada-Nya. Ia hablun minaLlah.

Kita sebagai khalifah, menjaga tali kita dengan manusia ciptaan-Nya,
kerana kita ditugaskan menjadi saluran kebaikan-Nya ke alam ini. Ia
hablun minannaas.

Buat baik kepada sesama manusia, boleh dengan sedekah, boleh dengan
memimpin tangan si buta di pinggir jalan. Namun sedekah hanya sekali
sekala, orang buta bukan setiap hari kita jumpa. Jalan kebaikan yang
paling utama, adalah pada menjadikan kerja sebagai ibadah. Memberi
kebaikan kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah
kepada kita.

JIKA KERJA JADI IBADAH

Jika kerja jadi ibadah, Allah adalah 'CEO' kita. The unsung hero
beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di
mata insan.

Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak
menghambur dosa, kerja dibuat sebaik yang upaya.

Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas
perjalanan mencapai TUJUAN.

Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja.

Teruskan cita-cita kalian menjalani kerjaya masing-masing. Ia cara
terbesar, kamu zahirkan syukur kepada-Nya.

Kita hamba-Nya, kita Khalifah-Nya.
--

No comments: